Assalamualaikum
Salam Dari Raja Beloot
Amalan sunnah Muharam
Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.
Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.
‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”
Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa.
” Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.
Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.
Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”
Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.
Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)