Labels

Alang2 Singgah Follow La

Tulis Nama Atas Batoo

Thursday, September 30, 2010

Puisi Buat Kawan ~ Pergi !

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Salam Dari Mahligai Raja Beloot



PERGI

Kawan 
longlai langkah mu aku lihat
sarat dengan kabut
mengusung nota pindah jiwa
katamu mau pergi
jauh kepada yang dekat

Kawan 
senyummu kian tawar
tiada lagi senda gurau
bening mata bisa membanjiri tujuh benua
walau kau selindung luka di celahan ria rupa
namun masih dapat ku teka apa bersarang di lopak dadamu
kenapa kau takung cerita derita 
aruskan ia ke lautan ceria...

Kawan
aku masih di sini...di sisi
tak akan cuba menghalang kau pergi
pergilah...ikut kehendak hati
pergilah...cari di mana hakmu 
jangan bazirkan usia bahagiamu
susun batu bata benteng jiwa luka
pergilah...jangan toleh lagi !

Raja Beloot : sekali sekala bersajak...saajak muka kau !

Tuesday, September 28, 2010

Wasiat Saidina Ali


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Salam Dari Singgahsana Raja Beloot

http://lh3.ggpht.com/_wUNxt92Phwo/SPClDtNAeBI/AAAAAAAAAWA/P8vxmo2WBdg/s800/syahadat3.jpg

Ucapan Saidina Ali sebagai renungan....
  1. Manusia itu tidur, jika ia mati baru ia bangun.
  2. Seseorang tidak akan binasa bila ia mengetahui keampunanNya.
  3. Nilai seseorang itu diterima oleh perbuatan baik.
  4. Orang yang manis lisannya akan banyak mendapat teman.
  5. Peribadi seseorang itu tersembunyi dibawah lisannya.
  6. Dengan perbuatan yang baik orang merdeka dapat diperbudakkan.
  7. Janganlah memandang kepada siapa yang berbicara tetapi perhatikanlah apa yang dibicarakan.
  8. Tidak ada kemenangan bersama kedurhakaan.
  9. Tidak ada pujian bersama kesombongan.
  10. Tidak ada kesihatan bersama kerakusan dan kurang cerna.
  11. Tidak ada kemuliaan bersama adat yang bejat.
  12. Tidak ada kesentosaan bersama kedengkian.
  13. Tidak ada kebenaran dengan meninggalkan perbincangan.
  14. Tidak ada keperwiraan dengan meninggalkan perbincangan.
  15. Tidak ada keperwiraanbagi pendusta.
  16. Tidak ada kemuliaan yang melebihi ketakwaan.
  17. Tidak ada pemberi syafaat yang melebihi taubat.
  18. Tidak ada penyakit yang lebih menyulitkan daripada kebodohan.
  19. Manusia itu musuh dari apa yang ia tidak ketahui.
  20. Allah menyayangi seseorang yang mengenal keampunan dan tidaklah kekuasaannya menjadikannya melampaui batas.
  21. Mengulangi meminta maaf itu mengingatkan kesalahan.
  22. Musuh terbesar itu ialah yang paling tersembunyi tipu dayanya.
  23. Hikmah adalah milik orang beriman yang hilang.
  24. Yang jijik itu menghimpun segala aib yang buruk.
  25. Nasihat di tengah khalayak ramai itu adalah satu celaan.
  26. Ukhwah itu indah JIKA SEGALA-GALANYA KERANA ALLAH
Raja Beloot : janganlah dihiraukan siapa aku...tapi perhatikanlah apa yang aku tuliskan !

Monday, September 27, 2010

Barisan Akhirat

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Salam Dari Istana Raja Beloot

http://1.bp.blogspot.com/_ReRbm4ikeBE/S69sqUfWsvI/AAAAAAAAAUU/oS66i2qFeOc/s1600/latihan-baris-berbaris_412_l.jpg

          Suatu ketika, Muaz bin Jabal r.a. menghadap Rasulullah S.A.W. dan bertanya kepada baginda: “Wahai Rasulullah S.A.W., tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah S.W.T”
Erti firmanNya;
“Pada sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datang berbaris-baris” (Surah al-Naba’)
Mendengar pertanyaan ini, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata. Lalu menjawab; “Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepadaku perkara yanag amat besar bahawa umatku masing-masing dengan pembawaan diri mereka sendiri.”
Maka Rasulullah menyatakan setiap barisan yang sebanyak 12 barisan.

BARISAN PERTAMA

Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih;
“Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya. Maka demikian balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEDUA

Diiringi dari kubur dalam berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih;
“Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KETIGA

Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking.
“Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEEMPAT

Diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka.
“Mereka adalah orang yang berdusta di dalam jual beli. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”








BARISAN KELIMA

Diiringi dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu, Allah S.W.T. menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar.
“Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka kerana takut diketahui manusia,tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah S.W.T. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEENAM

Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan.
“Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KETUJUH

Diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah dari mulut mereka mengalir nanah dan darah.
“Mereka itu adalah orang yang enggan member kesaksian di atas kebenaran. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KELAPAN

Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.
“Mereka adalah orang yang berbuat zina. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KESEMBILAN

Diiringi dari kubur dengan wajah hitam gelap dan bermata biru sementara di dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh.
“Mereka adalah orang yang memakan harta anak yatim dengan cara yang tidak sepatutnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KESEPULUH

Diiringi dari kubur dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan sopak dan kusta.
“Mereka adalah orang yang derhaka kepada ibu bapa. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KESEBELAS

Diiringi dari kubur dalam keadaan buta mata kepala, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terlanjur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran.
“Mereka adalah orang yang meminum arak. Maka inilah balsannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEDUA BELAS

Mereka diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka datang suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan;
“Mereka adalah orang yang banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, memelihara solat, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih.”

Raja Beloot :  yang manakah barisan kita agaknya ye...

Kembali

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Salam Dari Raja Beloot

Kebuntuan mencari ilham lalu tetiba telinga beloot aku tertangkap sebuah lagu nasyeed dari IKIM.fm. Dengan garapan lirik yang amat puitis dan menggetar hati. Lalu ingin sekali aku kongsikan dengan kalian semua... Hayatilah lagu Kembali dari kumpulan Far East !


 

Ya Allah... Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah,
Terangilah ku dengan nur iman-Mu,
Hanya Engkau tempat aku berserah,
Mohon maghfirah di dalam syahdu...

Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih,
Ampunilah segala dosaku,
Laksana buih di laut memutih,
Hanyut ditelan gelombang nafsu...

Hari-hari yang telah aku lalui,
Inginku tinggalkan terus bersemadi,
Ingin aku, kembali kepada fitrah insani,
Tak sanggupku jelajahi rimba duniawi,
Bebaskanlah diriku dari dibelenggu,
Dosa noda nafsu durjana...

Terimalah taubatku Ya Allah,
Pimpinlah daku ke jalan redhaMu,
Moga sinarMu terangi hidupku,
Di dalam kegelapan...

Aku kan kembali padaMu rabbi,
MenghadapMu Ya Rabbul Izzati,
Segala ketentuanku pasrahkan,
Di hujung penghayatan...

Raja Beloot : Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku...

Sunday, September 26, 2010

Ingatan Bumi...

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Salam Dari Raja Beloot

http://yanatea.files.wordpress.com/2009/08/bumi1.jpg

          Untuk peringatan pada diri yang sering alpa dengan keindahan dunia yang hanya palsu belaka. Sedarlah bahawa bumi sentiasa berkata-kata dengan manusia namun masih ramai lagi manusia yang lalai dan leka.

Berkata Anas Bin Malik r. a; Sesungguhnya setiap hari bumi menyeru kepada manusia dengan sepuluh perkara;

1. Wahai anak Adam! Berjalanlah di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimasukkan ke dalamnya kelak.

2. Engkau melakukan maksiat di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan diazab di dalam perutku.

3. Engkau ketawa di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan menangis di dalam perutku.

4. Engkau bergembira di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan kecewa di dalam perutku.

5. Engkau mengumpul harta di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan menyesal di dalam perutku.










6. Engkau makan benda yang haram di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimakan oleh ulat di dalam perutku.

7. Engkau angkuh di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dihina di dalam perutku.

8. Engkau berlari dengan riang di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan jatuh di dalam perutku dalam keadaan dukacita.

9. Engkau hidup di dunia bersiramkan cahaya matahari, bulan dan bintang di belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan tinggal dalam kegelapan di dalam perutku.

10. Engkau hidup di atas belakangku beramai-ramai, tetapi ingatlah! Engkau akan keseorangan di dalam perutku.



Raja Beloot : ingatan pada yang terlupa !

www.iluvislam.com

Saturday, September 25, 2010

Ntahapahapantah - 4 ~ Andai Dapat Ku U-turn kan Masa

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Salam Dari Raja Beloot

gambar jam Image

          Menderu memasuki telinga aku lagu dari kumpulan Axl's yang tajuknya Andai Dapat Ku Undur Masa. Nanti aku letakkan videonya kat bawah ni. Sebenarnya aku tertarik dengan tajuk lagu tu. Boleh ke aku undur kan masa ? Atau boleh ke masa tu berundur. Kalaulah boleh, macamana agaknya keadaan dunia ini. Pasti tak akan ada orang yang akan mati. Bila sakit je dia undurkan masa. Bila nak mati je, dia pun undurkan masa. Hehehehe best jugak ek. Kita boleh pilih apa saja yang kita nak supaya berlaku dalam hidup kita. Kalau dah tak suka pada sesuatu, kita bleh undurkan masa pastu kita pilih je sesuatu yang lain. Ataupun bila bulan Syawal dah nak habis je kita undurkan balik masa supaya kita dapat raya sakan berbulan-bulan lamanya. Kahkahkah...

          Aku rasa, banyak orang nak undurkan masa. Mereka seolah macam tak puas hati dengan apa yang mereka lalui dan miliki sekarang. Ada yang menyesal apabila saat mereka pelu memilih antara dua benda, mereka tersalah pilih lalu hidup mereka macam ada rasa terkilan. Mereka merasakan andainya mereka mengambil pilihan yang lain dari apa yang mereka pilih dulu, mungkin kehidupan mereka lebih baik dan bahagia. mungkin saja...tetapi tiada kepastian. Seorang kekasih mungkin menyesal kerana telah meninggalkan kekasihnya dan berkahwin dengan orang lain yang sangkanya akan membahagiakannya. Namun apabila dia kecewa dengan pilihannya dia merasakan tersangat ingin mengundurkan masa untuk kembali dengan bekas kekasihnya yang telah ditinggalkan. Dalam angannya itu dia merasakan akan hidup bahagia bersama bekas kekasihnya. Apakah dia akan bahagia ? Dalam angannya sahaja...Hehehehe....andai dpat ku undurkan putaran dunia, ingin ku ubah semula, kata-kata dan tingkahlaku ku agar kita dapat seiring di mercu asmara !

          Seorang suami yang merasakan isterinya sudah tak relevan lagi dengan hidupnya, mahu mengundurkan masa dan memilih gadis lain untuk dijadikan isteri walaupun saat ini dah berkilo-kilo tenaga isterinya dikerah untuk masak makanannya, cuci bajunya, beranak untuknya dan dodoikannya. Begitu juga si isteri yang merasa bosan dengan tabiat dan habitat suaminya mungkin mahu mengundurkan masa dan mencari suami yang dirasakan lebih hebat dan dasyat daripada suaminya sekarang walaupun dah berkarung harta suaminya dihabiskan....hahahaha aku pun tak faham !!!!

          Layan ah lagu ni. Kepada sapa-sapa yang masih berangan nak mengundurkan masa, tak payahlah menghabiskan masa berkhayal. Baliklah ke dunia realiti. Masa tak akan dapat dan tak mungkin sekali-kali akan dapat diundurkan. Terimalah kehidupan yang anda ada sekarang. Semuanya sudah diatur dan disusun oleh Allah. Ada hikmah dan rahmanirrahim dalam apa yang telah Allah tentukan. Carilah dan bersyukurlah dengan apa yang telah kamu dapat dan lalui dalam hidup kamu. Ingatlah kalau tak begitu takkan jadi begini..... NTAHAPAHAPANTAH !!!!


Raja Beloot : Kalau dapat undur masa...aku nak letak entry ni dalam blog lama aku....huhuhuhu

Thursday, September 23, 2010

Sekadar Keluhan...


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Salam Dari Raja Beloot

Setiap hari kita mendengar orang-orang di sekeliling kita mengeluh. Kadang-kadang kita sendiri tak terlepas dari keluhan. Namun sedarkah kita di sebalik keluhan kita itu ada yang kita tidak sedar. Memang kita tidak sedar atau kita saja buat tak sedar….Jadi sebelum kita mengeluh sedar-sedar….!!!!
1. Hari ini sebelum kamu mengatakan kata-kata yang tidak baik, fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berbicara sama sekali.
2. Sebelum kamu mengeluh tentang rasa dari makananmu, fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.
3. Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa, fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta di jalanan.
4. Sebelum kamu mengeluh bahawa kamu buruk, fikirkan tentang seseorang yang berada pada tingkat terburuk dalam hidupnya.
5. Sebelum kamu mengeluh tentang suami atau isteri kamu, fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.
6. Hari ini sebelum kamu mengeluh tentang hidupmu, fikirkan tentang seseorang yang meninggal dunia terlalu cepat.
7. Sebelum kamu mengeluh tentang anakmu, fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.
8. Sebelum kamu mengeluh tentang rumahmu yang kotor kerana pembantumu tidak mengerjakan tugasnya, fikirkan tentang orang yang tinggal di jalanan.
9. Sebelum kamu mengeluh tentang jauhnya kamu telah mengembara, fikirkan tentang seseorang yang menempuh jarak yang sama dengan berjalan.
10. Dan di saat kamu lelah dan mengeluh tentang pekerjaanmu, fikirkan tentang pengangguran, orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kamu.
11. Sebelum kamu menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain, ingatlah bahawa tidak ada seorang pun yang tidak berdosa.
12. Kita semua menjawab kepada Sang Pencipta. Dan ketika kamu sedang bersedih dan hidupmu dalam kesusahan, tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kamu masih hidup!
13. Cintai orang lain dengan perkataan dan perbuatanmu.
14. Cinta diciptakan tidak untuk disimpan atau disembunyikan.
15. Anda tidak mencintai seseorang kerana dia cantik atau tampan. Mereka cantik/tampan kerana anda mencintainya.
Raja Beloot : aku juga akan mengeluh kalau  tak ada orang baca blog aku..tp aku terfikir macamana nak baca kalau org tu tak ada komputer…huhuhu

Dialog Dua Hang Two...

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Salam Dari Raja Beloot
 
http://araskanews.files.wordpress.com/2008/11/halloween-eve.jpg


          Tersebutlah kisah dua orang hantu. Mereka ni baru bertemu lalu mereka pun berborakla untuk mengisi masa lapang kehidupan mereka sebagai hantu. Sepanjang perbualan mereka, Hantu B ni tak habis-habis menggigil. Lalu, Hantu A yang kehairanan ni pun bertanya,

"Apsal kau ni asyik menggigil je?"

"Oh..cara aku mati dulu teruk..aku mati dalam peti ais...sejuk!!" Jawab Hantu B sambil menggigil lagi.

"Ooo..kesian... aku dulu mati sebab heart attack." Kata Hantu A ramah.

"Kau memang sakit jantung kronik ye? Apsal ko tak gi buat operation? Kalau tak, sure kau tengah lepak-lepak ngan family kau sekarang." Balas Hantu B.

"Dah,aku dah buat dah !In fact mase aku mati tu, aku in recovery. Panjang ceritanya..." jawab Hantu A sayu.

"Ceritala sikit..Sambil-sambil lepak nih.."

"Camni..Aku syak isteri aku main kayu tiga ngan aku. So this one day, aku ingat nak perangkap la isteri aku..Aku pura-pura gi keje tapi actually aku park keta aku kat simpang hujung umah aku je. Seperti yang aku syak, masuk sebuah keta kat carpark umah aku. Aku rilex dulu sebab nak carik mase sesuai tangkap diorang."

"So, ko dapatla tangkap diorang?" tanya Hantu B penuh minat.

"Tak. Aku cume jumpe isteri aku je kat dalam bilik. Yang aku heran, mase aku masuk umah tu, aku nampak ade kasut laki kat pintu umah aku. Aku tanye isteri aku tapi die takmo jawab. So aku pun lari-lari sekeliling umah aku nak carik jantan tuh. Abis sume bilik aku carik tapi takde pun.. Last-last, sebab aku penat sangat berlari carik jantan tuh, aku pun jatuh pengsan sebab heart attack. And aku tak sangka aku mati lak..." kata Hantu A mengakhiri ceritanya dengan kesedihan.

Hantu B terdiam mendengarkan cerita Hantu A. Selepas beberapa ketika, Hantu B berkata,

"Kenapa kau tak check kat dalam peti sejuk? Kalau kau check kat situ, sure kita berdua still hidup lagi.

Raja Beloot : janganlah berlaku curang kepada suami anda...hahahaha

Tuesday, September 21, 2010

Haram Menikah Gadis Satu Kampung !

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Salam Dari Raja Beloot


Wahai rakyat jelata ku sekelian...

JAKIM telah mengeluarkan fatwa baru. Setelah diadakan perbincangan dan diskusi di antara para pemimpin, JAKIM dan ahli ulama’ memberikan fatwa pada tanggal 21 September tahun 2010:
“HARAM HUKUMNYA BAGI SEORANG MUSLIM LAKI-LAKI UNTUK MENIKAH DENGAN GADIS SATU KAMPUNG”
Fatwa JAKIM ini telah menimbulkan perdebatan dan bantahan yang sangat sengit antara yang pro dan kontra. Bahkan banyak pihak yang menyatakan bahawa JAKIM telah mengambil keputusan yang tidak munasabah dan terburu-buru. Wartawan Berita Harian telah meminta pegawai kanan JAKIM untuk memberi ulasan yang mendalam sebab sebab JAKIM mengeluarkan fatwa sedemikian. 
Inilah isi wawancara tersebut:

Wartawan:   Bagaimana JAKIM boleh mengeluarkan fatwa haram  
                            untuk menikahi gadis satu kampung?

Pegawai Kanan: Bagaimana tidak haram, sedangkan menikahi 
                           empat orang wanita sahaja sudah berat, apalagi 
                           kalau menikahi ‘satu kampung’…!!! Kau dah 
                           ‘sasau apo haaa’?!

Raja Beloot : jangan maraaaah aaa...

Menjengah Pintu Peperiksaan


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Salam Dari Raja Beloot

         
          Istimewa untuk anak-anak muridku yang akan mula menghadapi peperiksaan UPSR esok 21 September hingga 23 September 2010. Hayatilah pesanan terakhir ini setelah kamu semua berusaha dan bertawakkal. Iringilah perjuanganmu dengan doa...

Langkah-langkah Bijak Menjelang Peperiksaan

1.  Bertenang dan lapangkan fikiran, elakkan tekanan perasaan.
2.  Membuat ulang-kaji bagi topik-topik yang difikirkan penting.
3.  Tidur yang mencukupi. Ini bertujuan untuk memelihara tenaga  
     yang secukupnya semasa hari peperiksaan.
4.  Menjaga kesihatan diri supaya dapat mengelakkan daripada 
     demam atau kemalangan. Badan yang tidak sihat akan  
     menyebabkan otak kurang cekap.
5.  Menjaga pemakanan dengan memakan makanan yang berkhasiat 
     dan berzat. Hindari makanan yang boleh melemahkan tenaga 
     dan melembapkan minda.
6.  Bangun tidur awal pada setiap pagi.
7.  Bagi pelajar Islam, perbanyakan sembahyang hajat.
8.  Membaca nota-nota ringkas yang telah disediakan.
9.  Mengadakan senaman kesihatan fizikal untuk mengeluarkan  
     peluh.
10.  Beriadah dan berekreasi di tempat-tempat yang sesuai. Udara 
     yang bersih dan badan yang cergas akan menenangkan minda 
     dan melapangkan fikiran.
11.  Hindari sebarang masalah dengan sebarang pihak sama ada 
     rakan, keluarga atau lebih-lebih lagi guru. Jangan bergaduh 
    dengan rakan-rakan, atau bermusuhan dengan guru. Jangan 
     menderhaka dengan ibu apa dan jangan kurang ajar dengan guru.
12.  Meminta doa dan restu ibu, bapa dan guru-guru.
13.  Belajar pada waktu yang difikirkan sesuai.
14.  Mengkaji bentuk-bentuk soalan peperiksaan dengan bantuan 
       guru dan rakan-rakan.
15.  Menjawab soalan yang sama seperti format peperiksaan 
       sebenar.
16.  Datang lebih awal ke dewan peperiksaan sebelum peperiksaan 
       bermula. Ini membolehkan pelajar-pelajar sempat bertemu dan 
       berbincang dengan rakan-rakan. Ini akan dapat mengurangkan 
       ketegangan.
17.  Menyediakan segala kelengkapan peperiksaan yang diperlukan 
       sebelum menjelang hari peperiksaan.
18.  Bersarapan sebelum masuk ke dewan peperiksaan dengan 
       sarapan yang berzat supaya tenaga fizikal dan minda cukup 
       untuk menghadapi peperiksaan.
19.  Datang ke tempat peperiksaan dengan kenderaan yang lebih 
       selamat dan cepat. Jangan datang lewat. Ini hanya akan 
       meresahkan pelajar dan menggugat kelancangan pemikiran 
       pelajar.
20.  Elakkan mengadakan perbincangan tentang topik-topik hangat 
       atau kaedah menjawab sebelum dan selepas peperiksaan.
21.  Meminta ibu bapa atau ahli keluarga yang terdekat menghantar 
       pelajar ke tempat peperiksaan. Sokongan moral sebegini 
       amatlah penting.
22.  Mematuhi arahan peperiksaan yang telah ditetapkan.
23.  Membaca setiap arahan yang terdapat pada setiap kertas soalan.
24.  Menjawab soalan berpandukan soalan yang telah dipilih.
25.  Meminta sesuatu keperluan peperiksaan daripada pengawas 
       yang bertugas.
26.  Jangan bercinta dengan kekasih atau buah hati menjelang 
       peperiksaan. Ini akan melencungkan tenaga pemikiran dan 
       tumpuan pelajar daripada matlamat asal iaitu untuk mencapai 
       tahap kecemerlangan dalam peperiksaan. Lebih malang lagi 
       sekiranya pelajar 'putus cinta' menjelang peperiksaan!
27.  Memulakan peperiksaan dengan membaca Bismillah.
28.  Menjawab soalan yang pelajar fikirkan mudah dan betul 
       terlebih  dahulu, jangan mengambil masa yang lama untuk 
       satu-satu soalan yang sukar dijawab.
29.  Pastikan pelajar menjawab semua soalan yang dikemukakan 
       mengikut arahan yang dinyatakan.
30.  Berserah kepada Allah dan yakin bahawa anda akan beroleh 
       kejayaan selepas bekerja keras.


DOA-DOA MENGHADAPI PEPERIKSAAN

Yang paling utama....Pastikan anda mengulangkaji pelajaran anda.

Doa agar dikurniakan kefahaman yang baik dan ingatan yang sempurna sewaktu menelaah matapelajaran:
(DIBACA SEBELUM MENGULANGKAJI PELAJARAN SAMADA DARI BUKU ATAU NOTA)

(Allahummar zuqna, Ya Rabbi fahaman nabiyyiin, wa hifzaal mursaliin, wa 'ilhaamal malaikatiil muqarrabbin, fii 'aafiyaati, ya Arhamar raahimiin)

Maksudnya: "Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami fahaman nabi-nabi dan hafalan para rasul
serta mendapat ilham dari para malaikat yang hampir denganMu,
juga kurniakanlah kami kesihatan Wahai Tuhan Yang Amat Pengasih"

Doa sebelum masuk kelas/dewan peperiksaan

(Wa hai yi' lanaa min amrinaa rashadaa)

Maksudnya: Ya Allah, persiapkan kami mengenai dengan urusan kami dengan petunjukMu)


Doa sewaktu lupa semasa menjawab soalan

(Subhaa na man laa ya naa mu wa laa yas huu, Allahumma zakkirnii maa nasiitu) 3 kali

Maksudnya: Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lalai, Wahai Tuhanku, ingatkanlah aku apa-apa yang aku lupa)

Doa memohon kejayaan cemerlang - dibaca sebelum tidur setiap hari sehinggalah keputusan peperiksaan diumumkan.

(Allahumma inni as-alukal fauza 'indal qadha wa manaazilasy syuhada wa 'ai syas su 'a da' wan nasra alaal a'daa')

Maksudnya: Ya Allah Kami memohon kejayaan dalam setiap ketentuan, tempat para syuhada' dan kehidupan orang-orang bahagia serta kemenangan mengatasi musuh...

Raja Beloot : semoga Allah memberkati kamu semua...Aminn !

Monday, September 20, 2010

Ntahapahapantah - 3 ~ Lebuhraya Hidup...

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Salam Dari Raja Beloot

          Baru pulang dari Gelang Patah Johor Bharu. Perjalanan melalui lebuhraya PLUS memakan masa lebih kurang 3 jam bila dicampur dengan istirehat di hentian rehat. Menyelusuri lebuhraya ini memberi satu gambaran halus pada aku bahawa kehidupan manusia ini seumpama itu iaitu memandu sebuah kehidupan melalui jalan yang lurus ke satu arah dan destinasi yang tertentu...

[utara-selatan+highway.jpg]

          Sebelum memulakan perjalanan, perlu diperiksa segala bekal dan kelengkapan. Kenderaan yang akan dipandu juga perlu diselenggara dan diisi minyak yang cukup. Enjin kenderaan bagaikan tubuh badan yang perlu mempunyai kekuatan dan kesihatan untuk mengharungi rintangan di lebuh raya kehidupan. Ia perlu dipandu dengan penuh kesabaran, berhati-hati, tidak gopoh, tidak mengantuk dan sentiasa bertolak ansur dengan pemandu yang lain. Barulah kita akan tiba ke destinasi yang dituju dengan selamat. Andai kita sambil lewa sahaja dengan menyelenggara dan mempersiapkan diri dan kelengkapan pemanduan kehidupan makan kita mungkin akan ditimba musibah. Mungkin akan berlaku kemalangan ataupun kita boleh menyebabkan orang lain kemalangan. Na'uzubillah !



          Lebuhraya juga mempunyai lorong-lorong dan persimpangan-persimpangan yang membolehkan kita menentukan arah kehidupan kita. Ada pemandu yang tersalah masuk lorong atau persimpangan menyebabkan mereka tersesat dan perlu berpatah balik ke pangkal jalan. Ada pemandu yang mencari jalan pintas untuk cepat sampai ke destinasi mereka. Jalan yang mereka pilih itu kadang-kadang betul membawa mereka ke arah yang baik dengan penuh kebahagiaan. Namun ada juga yang tersalah pilih membuatkan mereka lemas dalam kehidupan mereka sendiri dan mengatakan jalan yang mereka ambil itu betul sehingga lupa matlamat asal dan destinasi sebenar mereka. Dan berbahagialah orang yang memilih lorong dan persimpangan yang telah dilakarkan atau sudah ditetapkan panduan dan arah yang sebenar untuk sampai ke destinasi mereka tanpa perlu mencari shortcut atau jalan pintas yang kadang-kadang mengelirukan...

          Aku juga menemui hentian rehat dan rawat di lebuhraya. Pemandu boleh menenangkan diri mereka dari penat, mengantuk, haus atau lapar di situ. Ia seumpama hospital yang boleh merawat kita jika kita sakit sebelum kita benar-benar sihat bagi meneruskan pemanduan atau kehidupan. Ia juga ibarat sebuah masjid yang boleh digunakan untuk beribadah kepada Allah dan berdoa semoga selamat di perjalanan. Di situ juga mungkin berlaku perkenalan, persahabatan atau pertemuan semula rakan lama. Segala perkara di situ akan membuatkan kita kembali segar dan bersemangat untuk meneruskan perjalanan kehidupan...

          Begitulah kehidupan. Ibarat memandu di lebuhraya. Ada suka, ada duka, ada gembira, ada sedih, ada yang laju, ada yang perlahan, ada yang memotong, ada yang salah potong, ada panas, ada hujan, bergaduh dalam kenderaan, bergeseran luar kenderaan dan macam-macam lagi lah. Samalah tu...hidup di dunia dengan memandu di lebuhraya...ahhh NTAHAPAHAPANTAH !

Raja Beloot : kadang-kadang celik sebelah mata, tidur sebelah mata masa memandu !

Friday, September 17, 2010

Ntahaphapantah - 2 ~ Hidup Jalan Terus

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Salam Dari Raja Beloot


          Senang rasanya aku melihat masih ada orang sudi lawat ‘kerajaan’ baru aku yang tak seberapa ini. Terima kasih pada yang sudi jadi peminat Blog Si Beloot di facebook. Walaupun masih lagi terasa kehilangan blog yang lama dulu namun aku tak mampu nak janjikan yang terhebat, tapi kalau boleh aku akan buat yang terbaik. Andai ada apa-apa komen bolehlah kiranya di titipkan…

         Hidup Jalan Terus…. sehari dua kita bercerita pasal kematian tragis seorang usahawan. Apabila ada kematian berlaku, inilah antara ayat standard yang akan diucapkan antara satu sama lain, khususnya kepada mereka yang mempunyai kaitan rapat dengan orang yang telah meninggal dunia.
“Sabarlah.. walaumacamanapun, kehidupan mesti diteruskan. Yang pergi tetap pergi, kita yang hidup mesti meneruskan kehidupan..”
         Secara umumnya, tiada yang salah tentang kenyataan itu. Ia salah satu bentuk ayat kita memberi semangat kepada mereka yang terlalu bersedih dengan kehilangan orang yang dikasihi. Kadang-kadang manusia begitu lemah dan longlai menghadapi kenyataan musibah yang menimpanya apatah lagi kehilangan mereka yang tersayang. Jadi keluarlah kenyataan seumpama ini. Hidup mesti diteruskan.. Ya tapi kehidupan yang bagaimana?

          Meneruskan kehidupan caca marba, maksiat, ingkar perintah Allah SWT? Tudung yang menutup kepala hanya saat menziarah mayat yang terbujur. Namun keluar saja dari zon sedih itu, ia kembali meneruskan kehidupan asalnya. Waktu sedih pula hanya sehari dua. Kemudian ia kembali gelak ketawa dalam maksiatnya, hiburan melampau dan hidup penuh kepalsuan dan kepura-puraan, kerja-kerja mungkar dan fasik tidak berkesudahan. Langsung tiada penyesalan dan kesungguhan untuk berubah. Kemudian berlaku lagi kematian. Ayat dan ungkapan yang sama diulang. “Hidup mesti diteruskan..” (Baca : Teruskan dengan maksiat macam biasa).

          Kata Ust Dato’ Ismail Kamus : 
“Jangan menjadi seperti anak ayam yang dijual di pasar. Seekor demi seekor diambil dan dijual oleh penjualnya. Kata anak ayam yang tinggal : “Dia saja kena, kita tak kena..” Lama-lama habis ayam sebakul”.
          Cukuplah kalau kita bayangkan mayat yang terbujur itu adalah diri kita sendiri. Janganlah dipermain-mainkan ungkapan ‘hidup mesti diteruskan’ itu. Kenyataan ini tidak saya khususkan kepada orang tertentu. Namun semua kita harus mengambil pengajaran. Bukankah kematian itu satu pengajaran yang sangat berguna?

Thursday, September 16, 2010

Ntahapahapantah - 1 ~ Sebelum Aku Tidur !

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Salam Dari Raja Beloot

          Sudah larut pagi namun mata belum mahu pejam lagi. Degil betul mata ini. Tak ada apa yang nak aku fikirkan. Tak ada juga yang aku risaukan. Namun masih jugak aku buntu. Kenapa tak boleh tidur ni. Ah biar ah...nanti lepas ni boleh tidur. TAPI....

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEj-uldB8zB3ItWpcqiqfWmaGTamgU9I47qZKlEL6ohiUin4YGKaoOXIruzLMSSmshHKgeJ_0-Fg4oxCL4_OeULhzY8k2whLrZiaj9ZGBR8iec5TXMzdeLZES5KeF5O3C2a0BoY4hti7G9I/s1600/tidur.jpg
Andai esok aku bangun, pasti mentari akan muncul menerangi kegelapan malam yang beransur pergi...
Apa harus aku ucapkan pada Tuhan ?
Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan yang menghidupkan aku setelah mematikan aku dan kepadaNya aku akan kembali !

Aku selak jendela kamar, maka tertamparlah sang bayu ke pipi aku...
Apa harus ku bisikkan pada Tuhan ?
Syukur padaMu Allah, masih memberi aku nyawa untuk terus hidup mengumpul pahala dan bertaubat dari segala dosa !

Aku mandi dan membersih diri...
Apa perlu aku ucap lagi pada Tuhan ?
Jadikanlah aku dari kalangan orang yang bertaubat, jadikanlah aku dari kalangan orang yang bersih dan jadikanlah aku hambaMu yang soleh !
Aku memakai pakaian dan bersiap diri...
Akan aku katakan pada Tuhan...
Ku memohon kebaikan dari kejadian pakaian ini dan jauhkanlah aku dari keburukan dan fitnah kerana pakaian ini...

Tapi aku pakai baju siap-siap ni nak pergi mana. Hari ni kan cuti Hari Malaysia...
Apa yang perlu aku lafazkan ?
Aku bersyukur padaMu Tuhan kerana menghadiahkan aku sebuah negara yang aman dan sentosa...

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA !

SELAMAT BERCUTI DAN SELAMAT TIDUR...HAHAHAHA !

Raja Beloot : dapat jugak aku tidur...Bismikallahumma ahya wa amut !

Wednesday, September 15, 2010

Aku Muncul Lagi

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum
Salam Dari Raja Beloot

AKU MUNCUL LAGI

Wahai sekelian rakyat jelataku,
kini aku raja...
masyhurkanlah aku !

Aku muncul dari sebuah kehilangan
hilang sebuah takhta
tika di puncak kemegahan
tamak dan rakus merentap segala
lalu musibah melanda
hanya dengan satu kealpaan
musnah segala...

Aku kini muncul lagi
dengan wajah dan rupa yang sama
namun berbeza nama dan gaya
sudilah kiranya kau terima
diriku seadanya...

Jangan disamakan aku 
dengan aku yang dulu
namun aku masih tetap aku
bagai yang dulu...

Ku harap munculku ini
akan mampu merubah diri
terhapus segala sifat keji
dalam diri aku dan juga kamu...

Andai munculku bahagia buatmu...
aku rela bersimpuh di depanmu
melafaz syukur kepadamu....
Kiranya kemunculan ini derita buatmu
jauhlah kau dariku
aku tak rela dirimu sengsara keranaku...

Kemunculan ini adalah dari sebuah kehilangan...Si Beloot !

Raja Beloot : hilang yang tak bisa lagi dijejaki....

Monday, September 13, 2010

Rayakan Aidilfitri Dengan TaQwa

Assalamualaikum
Salam Aidilfitri Dari Raja Beloot

          
          Setelah berjaya menunaikan ibadat puasa selama sebulan pada bulan Ramadhan dengan pelbagai ujian dan dugaan, umat Islam menyambut Hari Raya Puasa atau Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kemenangan dan kejayaan.

            Hari Raya Puasa atau Hari Raya Aidilfitri tentulah akan disambut dengan penuh meriah. Walau bagaimanapun Islam melarang umatnya membazir dan berbelanja secara berlebih-lebihan semasa menyambut hari  perayaan ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ”…dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan sedang syaitan itu pulaadalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” (al-Israa’:26-27)

                                                                                               
Oleh itu umat Islam mestilah menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh bermakna melakukan perkara-perkara kebaikan dan meninggalkan perkara-perkara mungkar . Amalan pada malam Hari Raya Aidilfitri adalah disunatkan supaya membanyakkan amalan berzikir.Takbir raya eloklah dilakukan di mana sahaja dan  pada sebarang waktu, sama ada selepas sembahyang fardhu, ketika menziarahi saudara-mara, menerima tetamu dan sebagainya.

            Secara khususnya waktu takbir Hari Raya Aidilfitri bermula dari sejak matahari terbenam pada akhir bulan Ramadhan.

            Takbir Hari Raya Aidilfitri adalah disunatkan bertakbir pada sepanjang malam hari raya tersebut sama ada dirumah, masjid,surau  dan sebagainya.   Di setengah kampung dan tempat, amalan bertakbir sudah menjadi kebiasaan dan tradisi yang baik yang diikuti dengan majlis tahlil serta berkunjung ke rumah-rumah jiran atau saudara-mara bagi merapatkan silatul rahim di samping menjamu hidangan yang disediakan.

            Amalan dan nilai murni menyambut hari raya Aidilfitri seperti ini wajarlah dikekalkan. Daripada Abu Umamah RA, daripada Rasulullah SAW sabdanya:” Sekiranya mengerjakan amal ibadat pada malam  Hari Raya (Aidifitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur ingkar) pada hari itu” (HR Ibnu Majah)

Sembahyang sunat hari raya disyariatkan selepas hijrah. Dalam hal ini Anas bin Malik berkata; Rasulullah SAW datang ke Madinah ketika itu penduduk Madinah telah mempunyai dua hari besar yang sentiasa mereka  rayakan. Lantaran itu Rasulullah SAW bersabda :  “Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikan  dua hari itu dengan yang lebih baik bagi kamu, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha”
                                                (HR: Ahmad, Abu Daud, Nassa’ei dan Al-Baihaqi)

Allah SWT. berfirman yang maksudnya:
“…Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur”
                                                                                                (Al-Baqarah: 185)

Jelaslah bahawa Hari Raya Aidilfitri adalah hari kebesaran untuk mengagungkan Allah dan bersyukur atas segala nikmat dan petunjuk yang diberikan-Nya. Antara cara kesyukuran yang patut ditunjukkan ialah kesederhanaan dalam apa juga  keadaan ketika menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tanpa pembaziran, boros, atau menunjuk-nunjuk.

            Amalan dan nilai murni yang wajar dilakukan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri ialah menghidupkan malam dengan ibadat.  Antara ibadat tersebut ialah banyakkan berzikir, istighfar,bersedekah, membaca al-Quran dan memuji kebesaran Allah SWT. Manakala amalan yang baik sebelum menunaikan sembahyang hari raya disuruh mandi bersugi (membersihkan gigi) dan memakai wangi-wangian. Disunatkan menjamah makanan sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat hari raya Aidilfitri.

            Sewajarnya dalam mengerjakan sembahyang Aidilfitri atau berziarah kita disuruh memakai pakaian yang bersih dan cantik. Hassan bin Ali berkata, “Rasulullah SAW. menyuruh kami memakai pakaian yang paling bagus dan baik serta memakai minyak wangi yang paling bermutu bergantung kepada kemampuan kami”.

            Amalan mulia ini haruslah digalakkan kepada umat Islam kerana ia menunjukkan kebersihan dan kegembiraan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Buraidah berkata; “Rasulullah SAW tidak berangkat menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri sebelum baginda SAW makan. Sebaliknya untuk sembahyang Aidilfitri, Rasulullah SAW tidak makan sebelum selesai mengerjakan sembahyang. Setelah selesai sembahyang, barulah Rasulullah SAW Memakan hati binatang yang telah dimasak iaitu kurbannya”.

            Pelbagai amalan yang baik boleh dilakukan sempena Hari Raya Aidilfitri antaranya menggeratkan hubungan silaturahim dengan berkunjung ke rumah saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga. Menziarahi kubur juga digalakkan dilakukan pada hari raya Aidilfitri seperti yang lazim dilakukan oleh umat Islam di negara ini, sebagai mengingati mereka yang telah pergi.

Kesimpulannya, sambutan Hari Raya Aidilfitri bolehlah dilakukan mengikut tradisi dan budaya Melayu serta berlandaskan Islam dengan melakukan sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri dan kemudian ziarah-menziarahi sesama sanak saudara, sahabat handai juga jiran tetangga untuk mengukuhkan silatul rahim di kalangan umat Islam dan sebagai tanda kesyukuran kehadrat Allah atas segala nikmat-Nya serta meraikan kejayaan menunaikan sebulan berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Raja Beloot : kemunculan dari sebuah kehilangan...
 

Sunday, September 12, 2010

SELAMAT HARI RAYA

Assalamualaikum 
Salam Dari Raja Beloot


Sedih hati aku di hari raya yang mulia ini. Hanya dengan satu klik blog aku terdelete...ouchh...gatal bebenor tangan ni. Terpaksa mula dari zero. Kesilapan jadi pengajaran...

Raja Beloot : Blog baru, wajah baru, identiti baru....kot ?
Related Posts with Thumbnails


I changed my font at scrappinblogs.blogspot.com