Labels

Alang2 Singgah Follow La

Tulis Nama Atas Batoo

Monday, September 13, 2010

Rayakan Aidilfitri Dengan TaQwa

Assalamualaikum
Salam Aidilfitri Dari Raja Beloot

          
          Setelah berjaya menunaikan ibadat puasa selama sebulan pada bulan Ramadhan dengan pelbagai ujian dan dugaan, umat Islam menyambut Hari Raya Puasa atau Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kemenangan dan kejayaan.

            Hari Raya Puasa atau Hari Raya Aidilfitri tentulah akan disambut dengan penuh meriah. Walau bagaimanapun Islam melarang umatnya membazir dan berbelanja secara berlebih-lebihan semasa menyambut hari  perayaan ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ”…dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan sedang syaitan itu pulaadalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” (al-Israa’:26-27)

                                                                                               
Oleh itu umat Islam mestilah menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh bermakna melakukan perkara-perkara kebaikan dan meninggalkan perkara-perkara mungkar . Amalan pada malam Hari Raya Aidilfitri adalah disunatkan supaya membanyakkan amalan berzikir.Takbir raya eloklah dilakukan di mana sahaja dan  pada sebarang waktu, sama ada selepas sembahyang fardhu, ketika menziarahi saudara-mara, menerima tetamu dan sebagainya.

            Secara khususnya waktu takbir Hari Raya Aidilfitri bermula dari sejak matahari terbenam pada akhir bulan Ramadhan.

            Takbir Hari Raya Aidilfitri adalah disunatkan bertakbir pada sepanjang malam hari raya tersebut sama ada dirumah, masjid,surau  dan sebagainya.   Di setengah kampung dan tempat, amalan bertakbir sudah menjadi kebiasaan dan tradisi yang baik yang diikuti dengan majlis tahlil serta berkunjung ke rumah-rumah jiran atau saudara-mara bagi merapatkan silatul rahim di samping menjamu hidangan yang disediakan.

            Amalan dan nilai murni menyambut hari raya Aidilfitri seperti ini wajarlah dikekalkan. Daripada Abu Umamah RA, daripada Rasulullah SAW sabdanya:” Sekiranya mengerjakan amal ibadat pada malam  Hari Raya (Aidifitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur ingkar) pada hari itu” (HR Ibnu Majah)

Sembahyang sunat hari raya disyariatkan selepas hijrah. Dalam hal ini Anas bin Malik berkata; Rasulullah SAW datang ke Madinah ketika itu penduduk Madinah telah mempunyai dua hari besar yang sentiasa mereka  rayakan. Lantaran itu Rasulullah SAW bersabda :  “Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikan  dua hari itu dengan yang lebih baik bagi kamu, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha”
                                                (HR: Ahmad, Abu Daud, Nassa’ei dan Al-Baihaqi)

Allah SWT. berfirman yang maksudnya:
“…Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur”
                                                                                                (Al-Baqarah: 185)

Jelaslah bahawa Hari Raya Aidilfitri adalah hari kebesaran untuk mengagungkan Allah dan bersyukur atas segala nikmat dan petunjuk yang diberikan-Nya. Antara cara kesyukuran yang patut ditunjukkan ialah kesederhanaan dalam apa juga  keadaan ketika menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tanpa pembaziran, boros, atau menunjuk-nunjuk.

            Amalan dan nilai murni yang wajar dilakukan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri ialah menghidupkan malam dengan ibadat.  Antara ibadat tersebut ialah banyakkan berzikir, istighfar,bersedekah, membaca al-Quran dan memuji kebesaran Allah SWT. Manakala amalan yang baik sebelum menunaikan sembahyang hari raya disuruh mandi bersugi (membersihkan gigi) dan memakai wangi-wangian. Disunatkan menjamah makanan sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat hari raya Aidilfitri.

            Sewajarnya dalam mengerjakan sembahyang Aidilfitri atau berziarah kita disuruh memakai pakaian yang bersih dan cantik. Hassan bin Ali berkata, “Rasulullah SAW. menyuruh kami memakai pakaian yang paling bagus dan baik serta memakai minyak wangi yang paling bermutu bergantung kepada kemampuan kami”.

            Amalan mulia ini haruslah digalakkan kepada umat Islam kerana ia menunjukkan kebersihan dan kegembiraan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Buraidah berkata; “Rasulullah SAW tidak berangkat menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri sebelum baginda SAW makan. Sebaliknya untuk sembahyang Aidilfitri, Rasulullah SAW tidak makan sebelum selesai mengerjakan sembahyang. Setelah selesai sembahyang, barulah Rasulullah SAW Memakan hati binatang yang telah dimasak iaitu kurbannya”.

            Pelbagai amalan yang baik boleh dilakukan sempena Hari Raya Aidilfitri antaranya menggeratkan hubungan silaturahim dengan berkunjung ke rumah saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga. Menziarahi kubur juga digalakkan dilakukan pada hari raya Aidilfitri seperti yang lazim dilakukan oleh umat Islam di negara ini, sebagai mengingati mereka yang telah pergi.

Kesimpulannya, sambutan Hari Raya Aidilfitri bolehlah dilakukan mengikut tradisi dan budaya Melayu serta berlandaskan Islam dengan melakukan sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri dan kemudian ziarah-menziarahi sesama sanak saudara, sahabat handai juga jiran tetangga untuk mengukuhkan silatul rahim di kalangan umat Islam dan sebagai tanda kesyukuran kehadrat Allah atas segala nikmat-Nya serta meraikan kejayaan menunaikan sebulan berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Raja Beloot : kemunculan dari sebuah kehilangan...
 

1 comment:

  1. jika tjuk ni masuk upsr...syok la anak buah ustaz goreng....wahaha

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails


I changed my font at scrappinblogs.blogspot.com